SEJARAH SEKOLAH

by - February 11, 2010

SEKOLAH KEBANGSAAN LONDAH

Sekolah Kebangsaan Londah mula ditubuhkan pada 01.02.1955. Ia terdiri dari pelajar tahun 1, 2 dan 3 yang berasal dari kalangan penduduk Kampung Londah. Sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Londah pelajar-pelajar ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan kampung Ladang yang jaraknya lebih kurang 5 kilometer dari Sekolah Kebangsaan Londah.

Penubuhan Sekolah Kebangsaan Londah ini adalah disebabkan jarak sekolah yang sedia ada iaitu Sekolah Kebangsaan kampung Ladang yang jauh. Ini menyebabkan pelajar-pelajar yang berasal dari Kampung Londah terpaksa berulang alik ke Sekolah Kampung Ladang. Mereka terpaksa melalui jalan yang dikelilingi semak dengan hanya berjalan kaki di awal pagi. Keadaan ini menyebabkan ibu dan bapa pelajar bimbang akan keselamatan anak-anak mereka.

Pada ketika itu juga, terdapat sekolah beraliran Inggeris iaitu Sekolah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman di Gemas. Kebanyakan pelajar yang belajar disini terdiri dari kalangan keluarga yang mampu. Mereka terpaksa berulang alik dan ada diantaranya yang menumpang dirumah saudara mara. Oleh kerana keadaan kemampuan kewangan para ibu bapa serta bimbang akan keselamatan anak-anak inilah yang menjadi faktor utama penubuhan Sekolah Kebangsaan Londah ini. Para ibu bapa berharap dengan penubuhan Sekolah Kebangsaan Londah ini yang beraliran Melayu pada ketika itu, dapat memberi pendidikan yang sebaik-baiknya.

Pada awalnya, penubuhan Sekolah Kebangsaan Londah ini hanya satu bangunan beratap zink dan berdinding papan telah dibina oleh penduduk setempat. Bangunan ini tiada disediakan bilik-bilik darjah. Namun begitu, bangunan ini dibuatkan sekatan dengan almari untuk dijadikan kelas bagi pelajar-pelajar dari tahun 1 hingga tahun 3.

Guru besar pertama sekolah ini ialah Encik Abdul Majid bin Mohamad Noh. Dalam catatan buku pendaftaran, pelajar pertama yang telah mendaftar di Sekolah Kebangsaan Londah ini ialah Ramli bin Jaaman. Penjaga kepada pelajar ini bernama Ujang bin Yahya. Mengikut catatan dalam buku pendaftaran tersebut pelajar ini telah dilahirkan pada Disember 1943 dan alamat terakhirnya pada ketika itu ialah Kampong Kubang. Pada ketika itu pelajar ini memasuki tahun 3.

Dari sumber yang diperolehi, bilangan pelajar yang berpindah dari Sekolah Kebangsaan Kampung Ladang ke Sekolah Kebangsaan Londah adalah seperti berikut :

Pelajar Tahun 1 = 22 orang

Pelajar Tahun 2 = 9 orang

Pelajar Tahun 3 = 10 orang

Semenjak sekolah ini ditubuhkan bilangan pelajarnya belum pernah mencapai angka 100 orang dalam satu-satu tahun. Pada tahun 1979, satu bangunan baru telah dibina. Bangunan ini terdiri satu bangunan dua tingkat yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari bangunan lama. Bangunan ini mengandungi empat bilik darjah.

Bangunan baru ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Khalil Yaakub, Timbalan Menteri Pelajaran pada 20 September 1983 (20.09.1983) bersamaan dengan 13 Zulhijjah 1403. Pada tahun 1997, telah menjadi satu sejarah penting kepada sekolah ini iaitu peperiksaan UPSR sekolah telah mencapai tahap 100 peratus. Pada ketika ini 8 orang pelajar telah mendapat keputusan lulus 100 peratus.

Semenjak 43 tahun sekolah ini telah dibina, buat pertama kalinya seorang Pembantu Tadbir Rendah iaitu Encik Abdul Razak Bin Abdul Manap (JPNS.P/24120) telah ditugaskan di sekolah ini pada 16 Mac 1998 (16.03.1998).

P/S: Atas permintaan guru-guru SK Londah, saya telah membuat blog khas ini untuk mendedahkan kepada dunia luar berkenaan SK Londah. Semoga SK Londah terus dikenali di seluruh Negeri Sembilan dan seluruh tanah air amnya.

Penulis adalah seorang guru akademik di SK Londah, Encik Mohd Sharifuddin bin Mohamad.

You May Also Like

2 comments

  1. ek eleh...btul ke ats permintaan cg2 sk londah...ke penulis yg syok sndiri...kuang3....

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas maklumat yang diberi. Boleh tambah nama guru besar-guru besar yang pernah berkhidmat di SK Londah untuk memudahkan murid membuat tugasan.

    ReplyDelete