Anugerah Prestasi Cemerlang

by - November 11, 2010

10/11/2010

Pada tarikh itu, satu majlis penganugerahan hadiah dan pingat diberikan kepada murid yang berjaya dalam akademik, sukan dan juga sahsiah. Hari ini juga merupakan kemuncak hari persekolahan pada tahun ini dengan mengiktiraf murid cemerlang sepanjang persekolahan tahun 2010 ini.

Bagi memeriahkan majlis, pihak sekolah turut menjemput seorang wakil dari Pejabat Pelajaran Daerah Tampin, En Mohd Zain untuk turut serta memberikan hadiah kepada murid SK Londah. Majlis bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari.

Majlis telah berlangsung di Dewan Terbuka dan ini merupakan kali pertama majlis penganugerahan murid cemerlang diadakan di sini. Lihat sahaja jumlah hadirin yang datang cukup untuk memeriahkan suasana majlis yang gilang-gemilang ini.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhamad Zaki dan nyanyian lagu Negaraku. Seterusnya diikuti ucapan oleh En Mohd Zakee (Yang Dipertua PIBG), ucapan oleh Tn Hj Mustaffa (Guru Besar), dan ucapan diakhiri oleh En Mohd Zain (Pegawai PPD Tampin). Kemudian, pengiktirafan murid yang cemerlang dipanggil namanya seorang demi seorang naik ke pentas untuk mengambil hadiah.

Pada tahun ini, penganugerahan tokoh murid telah diberikan kepada adik Omar Farhan (gambar di bawah). Beliau bukan sahaja cemerlang dalam setiap mata pelajaran malah turut dilantik sebagai ketua pengawas sekolah sepanjang sesi persekolahan tahun ini.

Pun begitu, kami juga berbangga dengan pencapaian sahsiah seorang murid bernama adik Azman (gambar di bawah) yang telah mencatat rekod kehadiran penuh sepanjang sesi persekolahan dari tahun 1 hingga tahun 6. Beliau begitu istimewa dikalangan kami, warga pendidik di sini berikutan kegigihan dan semangat ditunjukkannya ingin datang ke sekolah walaupun kami difahamkan beliau tidak sihat, tapi masih datang ke sekolah.

Tahniah kepada murid yang mendapat pengiktirafan cemerlang sepanjang sesi persekolahan 2010. Kepada murid yang tidak berjaya harusnya berusaha lagi pada masa yang akan datang. Jadikanlah kejayaan oleh murid yang berjaya ini sebagai pembakar semangat untuk menyatakan pada diri anda yang "Aku juga boleh berjaya".

You May Also Like

0 comments