Sambutan hari guru

by - May 17, 2013

17.05.2013, Jumaat
7 Rejab 1434H


Assalamualaikum,

SELAMAT HARI GURU!

GURU MALAYSIA, SATU ASPIRASI, SATU AGENDA

Terlewat sehari sambutan hari guru pada tahun ini disebabkan takwim sekolah yang begitu padat dan sendat. Walaupun begitu, sambutan tetap diadakan dalam keadaan yang sangat meriah. Bermula dengan bacaan surah yasin sebagaimana biasa permulaan sekolah pada setiap hari Jumaat, semua murid dan guru berhimpun di dataran perhimpunan sekolah untuk aktiviti sukaneka guru. Sukaneka bermula dengan pembahagian kumpulan guru dipecahkan kepada tiga kumpulan. Cabaran pertama, guru diminta untuk membuat kapal terbang daripada kertas surat khabar. Kapal terbang yang terbang paling jauh akan dikira sebagai pemenang. Nampak sahaja senang tapi tugasnya sangat mencabar kreativiti guru dalam menghasilkan kapal terbang yang benar-benar boleh terbang kerana hasilnya menampakkan banyak kapal terbang yang menjunam laju ke bawah berbanding terbang di udara.


Cabaran ke-2 menuntut kesabaran guru apabila guru perlu melengkapkan tangram puzzle berbentuk baju. Selepas dibentuk, guru perlu mencantumkan bentuk baju itu dengan cara menjahit dengan jarum tradisional. Guru yang mata 'terang' dilihat menjadi sasaran dalam cabaran ini kerana perlu membantu dalam menyucuk benang ke dalam lubang jarum yang sempit.


Cabaran ke-3 pula guru diminta melengkapkan ayat yang telah dipisahkan mengikut patah perkataan dan disembunyikan dalam pinggan yang dipenuhi tepung. Guru perlu meniup tepung itu untuk mengambil perkataan yang tersembunyi. Cabaran ini membuatkan ramai kalangan guru yang semakin putih wajahnya dek kerana tepung yang ditiup.


Hasilnya.. Bukan sahaja peserta malah pengendali juga tidak terlepas dari penangan tepung itu..


Sambutan yang meriah pada sebelah siangnya disambung pula pada sebelah malam dengan satu majlis makan malam yang diselitkan dengan majlis jasamu dikenang untuk meraikan pemergian ustaz Mohd Amin bin Mat yang akan bertukar kerja ke PPD Tampin sebagai Penyelia Pendidikan Agama Islam. Turut diundang tetamu istimewa malam ini iaitu Adun Gemas yang baru, En Abd Razak bin Ab Said.


You May Also Like

0 comments