Kem Kokurikulum di Jabatan Veterinar, Gemas
Pada 30/7/2010 hingga 1/8/2010 iaitu bermula hari jumaat sehingga ahad selama 3 hari, SK Londah telah mengadakan kem kokurikulum untuk murid tahap 2. Tujuan kem ini diadakan ialah untuk menarik minat murid menyertai persatuan badan beruniform disekolah dan juga sebagai proses mendisiplinkan murid dalam kehidupan harian.
Kem bermula pada sebelah petang hari jumaat. Kira-kira selesai solat jumaat, peserta diangkut oleh guru-guru menaiki kenderaan guru masing-masing manakala barang-barang keperluan lain diangkut dengan lori yang disewa khas oleh penganjur.
Setibanya di tapak perkhemahan, peserta perlu membersihkan kawasan perkhemahan dan menaikkan khemah masing-masing mengikut kumpulan yang telah dibahagikan sebelumnya.
Inilah ruang astaka yang disediakan oleh pemilik tapak perkhemahan, sememangnya luas, selesa dan indah. Sesuai untuk murid berkumpul dan mengadakan aktiviti.
Setelah khemah siap dipasang, murid dihimpunkan buat pertama kalinya untuk diberikan taklimat ringkas mengenai aturcara program. Cikgu Zamri (bertopi) sebagai kem komandan sepanjang perkhemahan ini telah diberikan mandat untuk mengetuai kem ini sehingga tempoh berakhir 1 Ogos nanti.
Petang itu juga, setelah selesai solat Asar, murid diberikan tugasan untuk membuat panji mengikut kumpulan masing-masing. Masa yang diberikan adalah selama 1 jam.
Lebih kurang jam 6 petang, murid dikumpulkan sekali lagi untuk mempersembahkan hasil kreativiti kumpulan masing-masing membuat panji. Panji ini dinilai dan pemarkahan diambil sepanjang murid melakukan pembentangan. Panji mestilah ringkas dan penuh dengan mesej. Panji ini juga akan dijadikan simbolik kumpulan dalam perkhemahan sehingga tamat perkhemahan.
Sebelum maghrib, murid diberi makan malam. Guru-guru bertugas akan memastikan semua murid mendapat makanan secukupnya. Sepanjang perkhemahan, makan berat seperti waktu pagi, tengahari, dan malam akan dibawakan khas dari kantin sekolah. Manakala makan ringan sahaja disediakan ditapak perkhemahan. Ini bagi mengelakkan masa dari banyak dibuang pada aktiviti penyediaan makanan sahaja. Dengan penjimatan ini, guru-guru bertugas akan lebih difokuskan kepada aktiviti dalam perkhemahan.
Murid-murid di bebaskan makan dimana-mana. Namun, mestilah sentiasa dalam kumpulan dan menjaga tatatertib dan adab makan. Selepas makan, mereka diwajibkan membasuh sendiri pinggan dan cawan yang telah digunakan. Ini bertujuan agar murid lebih berdisiplin dan mengamalkannya dalam kehidupan harian terutama di rumah.
Pada malam sabtu, iaitu malam pertama perkhemahan, satu sesi ceramah telah dilakukan oleh seorang pegawai polis yang dijemput khas dari balai polis, Gemas iaitu Sarjan Ahmad Fauzan. Beliau diminta menyampaikan ceramah mengenai jenayah khususnya jenayah juvenail pada malam tersebut. Ceramah ini berterusan sehingga jam 11 malam.
Keesokannya, bermula jam 8 pagi setelah murid siap makan, melakukan senaman, dan perbarisan, sekali lagi satu sesi ceramah yang lain dimulakan. Kali ini, ceramah ini khusus mengajar murid untuk boleh membaca kompas dan bearing. Penceramah yang dijemput ialah Encik P Kumaresan a/l Papanan (baju merah) dari SJKT Jeram Padang, Rompin.
Murid dipastikan boleh membaca kompas. Ini berikutan, tugasan selepas ini memerlukan murid membaca kompas untuk menentukan arah stesen-stesen yang mengandungi tugasan untuk setiap kumpulan. Disamping itu juga, murid juga didedahkan dengan ikatan. Ada 3 ikatan yang diajar iaitu ikatan manok, tindih kasih, dan buku sila.
Selepas selesai sesi ceramah membaca kompas dan ikatan, tibalah masanya murid diuji kemahiran mereka. Setiap kumpulan akan dibekalkan dengan satu kompas dan diminta menggunakan kompas itu untuk menentukan arah stesen yang perlu mereka tujui. Di setiap stesen, telah ada guru yang bertugas untuk memberikan arahan berkenaan tugasan yang perlu dibuat oleh setiap kumpulan sebelum diberikan arah tuju yang baru ke stesen berikutnya.
Sempat juga kem ini dikunjungi pegawai dari PPD Tampin iaitu En Ramanujan a/l Arumugam. Beliau merupakan seorang penyelia kokurikulum di PPD Tampin. Gambar di bawah menunjukkan beliau (berbaju merah) sedang mendengar perjalanan program yang diberitakan oleh guru besar (sebelah kanan) dan GPK KO (sebelah kiri).
Pada sebelah petang hari sabtu, murid dilepaskan dalam kumpulan memancing dikolam bersebelahan tapak perkhemahan. Dengan di awasi ramai guru, setiap kumpulan perlu menaikkan seberapa banyak ikan yang boleh. Penilaian dan pemarkahan juga diambil di sini.
Rata-rata murid sependapat mengatakan inilah aktiviti paling best dalam perkhemahan, iaitu pertandingan memancing. Banyak ikan yang diperolehi murid dengan hanya berumpankan cacing dan joran yang dibuat sendiri oleh murid dari rotan dan batang pokok bertam. Lihat sahaja gambar dibawah.
Pada sebelah malamnya, bertambahlah kerja guru menyiang ikan yang banyak ditangkap oleh murid. Siapa lagi yang dimangsakan menyiang ikan kalau bukan GPK KO dan Kem Komandan sendiri.
Keesokannya, murid diminta membersihkan kawasan perkhemahan dan gotong-royong menurunkan dan membungkus kembali khemah-khemah yang telah dipasang. Kira-kira jam 10.30, majlis penutup diadakan dan perjalanan pulang bermula jam 12 tengah hari.
0 comments