Sambutan Bulan Kemerdekaan

by - September 04, 2010

Pada 2/9/2010, Sekolah Kebangsaan Londah telah mengadakan program bersempena menyambut bulan kemerdekaan negara kali ke-53. Sambutan yang penuh meriah ini diketuai oleh cikgu Shafik. Berikut beberapa rentetan aktiviti sambutan bulan kemerdekaan di peringkat sekolah.

Tn Hj Mustaffa bin Ab Karim, Guru Besar SK Londah memberikan ucapan kemerdekaan.

Murid-murid SK Londah yang bersemangat sejak pagi mengibarkan jalur gemilang.

Pertandingan mendeklamasi sajak dan puisi antara aktiviti yang turut diselitkan.

Pertandingan pakaian beragam juga antara aktiviti yang menarik perhatian.

Pertandingan menyanyikan lagu patriotik.

Pertandingan mewarna dan melukis poster dengan tema "1Malaysia Menjana Transformasi".

Sebahagian jawatankuasa kerja yang bertungkus lumus menyusun acara.

Menyelami Erti Kemerdekaan

Pendita Za’aba mengungkap erti kemerdekaan adalah tentang: “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Za’aba, hlm. 124).


Sentiasalah beringat bahawa orang yang berjiwa dan berminda merdeka adalah orang yang tidak terkongkong dengan budaya ‘kampung’, terbelenggu dengan nafsu, ta'sub dan fanatisme. Sebaliknya orang yang benar-benar merdeka adalah orang yang tahu identiti dan harga dirinya, lalu membina keupayaannya agar ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’. Orang yang dapat berfikir jauh kehadapan, menembusi sempadan ‘kampungnya’, melepasi kepentingan diri dan kepuakan, untuk memikirkan kepentingan bangsa, negara, agama dan umat.

Kronologi Perjuangan Menuntut Kemerdekaan

Bila : 31 Ogos 1957
Rentetan
: Jam 12.01 pagi di Padang Kelab Selangor berdepan bangunan Sultan Abdul Samad. Bendera Britain, Union Jack diturunkan buat kali terakhir dan digantikan dengan bendera Persekutuan yang dilakukan oleh Hamzah Alang sambil disaksikan pemimpin negara serta ribuan penduduk Persekutuan.

Pada jam 8.00 pagi di Stadium Merdeka, Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia di depan wakil Ratu Elizabeth, Duke Of Gloucester, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris terakhir Sir Donald Mac Gillivray, Raja-Raja Melayu, Gabenor dan orang kenamaan serta berpuluh ribu rakyat mengistiharkan Kemerdekaan Tanah Melayu yang berdaulat. Pengisytiharaan itu berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, di depan 25 000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-Raja Melayu serta perwakilannya dari 30 negara Komanwel dan negara asing lain.

Sebaik Duke of Gloucester membaca ucapannya yang memansuhkan kuasa pemerintahan Britain di bumi Tanah Melayu, Tunku kemudian memberi ucapan sambil melaungkan 'Merdeka!' sebanyak tujuh kali.

Serentak itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu yang menjadi lambang perpaduan, keutuhan bangsa dan kedaulatan negara dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan 'Negaraku' yang pertama kali diperdengarkan, diikuti seruan azan dan tembakan meriam. Dengan perisytiharaan itu berakhirlah cengkaman penjajah Britain dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu, termasuk Pulau Pinang dan Melaka.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

P/S: Bijak pandai pernah berpesan: ‘mereka yang tidak belajar dari sejarah, mereka didera dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’

You May Also Like

1 comments

  1. salam cikgu.
    Maaf sedikit komen nak diberikan mengenai kronologi kemerdekaan negara malaysia.
    Komen mengenai turun naik bendera. Bendera union jack diturunkan pada 30 Ogos 2010 jam 11.59 malam manakala tepat jam 12.00 pagi 31 ogos 2010 bendera malaysia dinaikkan. Sumber daripada National Archives Of Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur

    ReplyDelete