Kami Sayang Abah.

by - July 21, 2011

22.7.2011 (Jumaat), 20 Syaaban 1432


“Abah”, itulah panggilan kami kepadanya. Abah berpendidikan hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja dan bekerja sebagai seorang pekerja industri di sebuah kilang di Shah Alam.

Setiap hari, abah akan memakai uniform birunya yang semakin hari, semakin lusuh itu untuk pergi bekerja. Abah akan menunggang motosikal Yamaha Lagendanya ke tempat kerja yang memakan masa lebih kurang 50 minit perjalanan dari rumah. Memandangkan abah bekerja mengikut shif, abah telah mencadangkan agar mama yang dahulunya seorang kakitangan pentadbiran di sebuah syarikat, agar berhenti bekerja untuk menguruskan kami adik-beradik.

Itulah serba sedikit latar-belakang mengenai abah yang merupakan idola dan kebanggaan kami. Sememangnya, abah adalah seorang bapa yang sangat penyayang. Abah sangat menyayangi kami walaupun perasaan itu tidak pernah diterjemahkan menerusi kata-kata. Tetapi, dari riak wajah dan segala pengorbanan abah, aku tahu bahawa abah sangat menyayangi kami semua. Abah sentiasa memberikan perhatian serta tujuk ajar kepada kami anak-anaknya. Kadang-kala abah memarahi kami di atas kesalahan yang kami lakukan. Bagaimanapun, kami masih merasakan kebahagiaan kasih sayang abah setiap kali abah memarahi kami kerana kami menganggap tindakan abah itu merupakan satu jelmaan perasaan kasih sayang yang tidak ternilai harganya. Tanpa perasaan yang lahir dari seorang bapa itu, kami percaya kesilapan mahupun kesalahan akan terus dilakukan.

Abah juga adalah seorang bapa yang bertanggungjawab kepada keluarga. Bagi abah, tiada perkataan berputus asa dalam kamus hidupnya demi mencari rezeki buat keluarga meskipun kerap mengalami kegagalan tetapi abah tidak pernah berputus asa. Seingat aku, abah telah tiga kali mengalami kegagalan dan yang terbaru abah telah menjadi mangsa kegagalan perniagaan yang diuruskan oleh saudara kami. Abah terpaksa menanggung beban hutang bank yang perlu dijelaskan setiap bulan. Ekoran dari itu, kami adik-beradik juga terkena tempiasnya apabila wang perbelanjaan yang sepatutnya cukup untuk kami terpaksa digunakan untuk membayar hutang bank setiap bulan.

Demi untuk menambah pendapatan , abah kerap membuat kerja lebih masa. Selama dua tahun berturut-turut abah tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun pada hakikatnya abah mengalami sakit lutut dan sendi kerana terlalu penat bekerja. Abah seorang yang cekal dan bersemangat tinggi. Abah tidak pernah menjadikan hal tersebut sebagai alasannya untuk tidak pergi bekerja kerana kata abah, “Rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya kita tidak berusaha mencari rezeki. Bagaimana rezeki itu mampu diperoleh sekiranya kita hanya duduk sahaja?”

Meskipun mengalami masalah kewangan yang agak runcing, tetapi abah masih terus berusaha sedaya –upaya untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa. Abah seorang bapa yang begitu prihatin terhadap keperluan keluarganya. Abahlah yang mencari wang untuk menyekolahkan kami dan menghantar aku ke pusat tuisyen. Semuanya dilakukan demi untuk melihat kami berjaya kerana itulah satu-satunya harapan abah pada kami. Abah lebih mengutamakan keluarga dari dirinya sendiri. Segala keperluan mahupun kemahuan yang kami perlukan sentiasa dipenuhi sedangkan dirinya tidak pernah mahukan apa-apa. Bagi abah, apa yang ada sudah mencukupi kerana kami lebih memerlukan.

Tiap-tiap hari abah akan membawa bekal makanan dari rumah ke tempat kerja semata-mata untuk berjimat. Inilah yang membuatkan kami semakin hari, semakin sayang dan berbangga kepada abah kerana pengorbanannya terlalu besar dan tidak mampu untuk kami balas. Setiap hari sebelum aku ke sekolah, setiap kali aku bersalaman dan mencium tangan abah, abah akan berpesan, “Belajar rajin-rajin kalau tak nak kerja macam abah. Bila dah Berjaya nanti belikan rumah besar untuk abah dengan mama ya.”

Kata-kata abah itu begitu menusuk kalbuku, tetapi kata-kata inilah yeng membakar semangat aku untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencipta kejayaan. Bagiku, sudah menjadi tanggungjawab aku sebagai seorang anak untuk berjaya dan membalas segala jasa abah yang telah bersusah-payah menempuh segala onak dan duri kehidupan demi membesarkan kami semua. Setiap kali selesai solat fardhu, aku akan berdoa kepada Allah agar semua kerja-kerja abah mendapat keberkatan dan dimurahkan rezeki serta hidup keluarga kami akan kembali ceria seperti dahulu.

Kegigihan abah menjadi sumber inspirasi kami adik-beradik untuk belajar bersungguh-sungguh. Usaha yang telah dilakukan oleh abah dapat dilihat sebagai satu pengorbanan yang amat berharga buat kami sekeluarga. Meskipun dibelenggu kesibukan mencari rezeki, abah tidak pernah meminggirkan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Dari sehari ke sehari, perasaan kasih sayang dan bangga kami terhadap abah semakin menebal. Tidak seinci pun perasaan itu berganjak dari dari jiwa kami. Kasih sayang yang dicurahkan oleh abah kepada kami, tidak tertanding walaupun dengan segunung intan. Aduhai, betapa beruntungnya kami kerana memiliki seorang bapa seperti abah. “Terima kasih abah kerana sudi menjaga dan menyayangi kami. Kami sayang abah….”

You May Also Like

0 comments