Selamat Bersara Cikgu

by - July 31, 2011

29.7.2011 (Jumaat), 27 Syaaban 1432

Assalamualaikum,

Pada hari ini diadakan satu majlis perpisahan di Sekolah Kebangsaan Londah. Seorang guru besar yang banyak membawa pembaharuan kepada pembangunan SK Londah sejak bulan dua yang lalu akan mulai bersara daripada perkhidmatannya sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran pada 1 Ogos ini. Dilihat dari tempoh masa beliau bertugas selama lebih kurang 5 bulan di sekolah ini, ramai akan mengagak tiada apa yang sempat dibuat oleh beliau. Namun komitmen beliau yang sudah banyak bertugas sebagai guru besar di sekolah lain sebelumnya membuatkan beliau tidak mengambil masa yang lama untuk memikirkan perubahan apakah yang boleh di bawa ke SK Londah ini.

Kalau Tun Abdul Razak merupakan Bapa Pembangunan Malaysia suatu ketika dulu. Cikgu Kamaruzaman bolehlah di kira Bapa Pembangunan SK Londah setelah apa yang beliau adakan sepanjang perkhidmatan beliau di sini. Antaranya yang akan diingati ialah pembinaan gelanggang bola tampar, membangunkan tapak semaian, dan mewujudkan sebuah taman rekreasi.

Majlis pada hari yang mulia ini dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil arwah pada sebelah pagi bermula jam 7.30 pagi di surau sekolah. Setelah itu majlis persaraan dimulakan pada jam 8.30 pagi di dewan terbuka. Ramai tetamu yang terdiri daripada jawatankuasa PIBG datang memeriahkan majlis. Ketibaan tetamu jemputan lain juga turut mengindahkan lagi seri majlis antaranya bapa angkat polis sekolah, Sarjan Hamzah dari balai polis gemas, ketua kampung londah, naib YDP PIBG, YDP PIBG, dan pegawai pelajaran daerah, En Azami.

Sepanjang majlis berlangsung, beberapa ucapan penghargaan dan selamat bersara telah diberikan oleh Puan Hamimi bt Abdullah (GPK1), diikuti En Mohd Jani (YDP PIBG), dan En Azami (PPDT). Akhirnya ucapan penutup diberikan kepada En Kamaruzaman, Guru Besar SK Londah untuk memberikan ucapan terakhir beliau bertugas di Sekolah Kebangsaan Londah.

Mengenangkan jasa beliau yang banyak membangunkan beberapa kawasan di SK Londah, beliau telah diberikan keutamaan untuk merasmikan taman rekreasi SK Londah. Selepas itu, semua hadirin dan murid-murid menjamu selera.

Selesai makan, beliau bersalaman dengan semua murid SK Londah. Masa dan ketika ini juga diambil oleh murid untuk mengucapkan ucapan terima kasih kepada guru besar mereka. Tidak terkecuali juga kami, guru SK Londah juga mengambil kesempatan ini berpelukan dan mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Setelah itu, beliau menandatangani buku kehadiran buat kali terakhir dan diarak dengan kompang menuju ke kenderaannya. Begitulah berakhirnya episod seorang guru besar yang bersara dari perkhidmatannya. Kenderaannya bergerak perlahan keluar dari perkarangan sekolah dengan suasana yang sayu. Sekali lagi Sekolah Kebangsaan Londah kehilangan guru besar.

You May Also Like

0 comments