Perkhemahan Unit Beruniform

by - October 24, 2011

21.10.2011 (Jumaat), 23 Zulkaedah 1432H

Assalamualaikum,

Pada tarikh ini diadakan suatu aktiviti perkhemahan unit beruniform di sekolah. Aktiviti ini berlangsung selama 3 hari sehingga 23 Oktober 2011. Pada 24 Oktober 2011 pula, sekolah telah memohon cuti peristiwa sempena aktiviti ini. Seramai 109 orang murid tahap 2 telah mengambil bahagian dengan semua kakitangan sekolah dan AJK PIBG telah dikerah memimpin murid dalam perkhemahan kali ini.   

Bermula pagi hari Jumaat, khemah telah terlebih dahulu didirikan. Lebih kurang jam 3 petang barulah pendaftaran murid dilakukan diikuti oleh taklimat perkhemahan oleh Kem Komanden, En Mohd Zamri b Abdurahman. Selepas solat Asar, murid yang telah dibahagikan dalam 8 kumpulan memulakan aktiviti yang pertama iaitu pemasangan gajet. Pada sebelah malamnya selepas Isyak, murid sepatutnya mengikuti acara 'night walk' namun terpaksa ditangguhkan keesokan pagi kerana hari hujan lebat. Murid telah dikumpul di dewan terbuka dan menonton sebuah telefilem yang cukup menginsafkan bertajuk 'Sebelum Akhirat'. Dek kerana itu juga ketua perkhemahan terpaksa mengikuti plan B yang mana murid terpaksa tidur dikelas berikutan keadaan khemah yang basah dan tidak selesa untuk didiami.

Pagi Sabtu seawal jam 7 pagi murid melakukan aktiviti 'morning walk' dalam keadaan berkabus mengikuti laluan 'night walk' yang telah tertunda malam tadi. Walaupun murid boleh melihat dengan jelas laluan yang diredah namun ianya juga cukup mencabar kerana murid dikerah berjalan melalui sawah padi yang belum ditabur benih padi namun penuh berair dan berlumpur kerana telah dibajak sekali. Maka ramailah diantara mereka yang menjerit kerana takutkan lintah. Selesai sarapan pagi, murid menjalani latihan berhalangan ala komando. Antara halangannya ialah murid terpaksa memanjat bukit menggunakan tali ala 'wall climbing', berlari dalam tayar kereta, bergerak mengundur melalui gelung rotan, merangkak atas meja, susup dan lompat, dan merangkak di bawah jaring dengan lumpur telah diletakkan terlebih dahulu di laluan tersebut. Selepas itu barulah murid dibenarkan mandi setelah bergelumang dengan lumpur. Lebih kurang jam 10 pagi, murid mengikuti aktiviti memasak. Mereka dibekalkan dengan ayam dan sayur kobis. Mereka perlu memasak dengan dibantu oleh guru pembimbing sebagai makanan tengahari mereka untuk hari itu. Sebelah petang, murid melakukan aktiviti di dewan yang diketuai oleh cikgu Dayang. Selepas Asar, murid berehat dan berlatih untuk aktiviti pada sebelah malamnya iaitu malam kebudayaan.

Pagi Ahad, murid mengikuti ceramah alam remaja yang diberikan oleh kaunselor PPD Rembau, En Asnizar yang dijemput khas untuk memberikan sedikit sebanyak pengetahuan alam remaja kepada murid. Selepas itu murid bersiap untuk pulang dan majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YDP PIBG, En Mohd Jani b Ismail. 

Pihak sekolah merakamkan sekalung TAHNIAH buat semua yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung samada melalui tenaga atau wang ringgit dalam aktiviti perkhemahan kali ini. SYABAS buat semua. 



P/S: Gambar penuh boleh dilihat di laman facebook sekolah, sklondah@hotmail.com.

You May Also Like

0 comments