Hari Keluarga SKL 2011

by - June 30, 2011

30.6.2011 (Khamis)

28 Rejab 1432

Assalamualaikum,

Pada 28 Jun 2011, Kelab Guru SKL telah mengadakan Hari Keluarga untuk warga guru Sekolah Kebangsaan Londah (SKL). Sepertimana tahun-tahun sebelumnya, pemilihan lokasi pertemuan pada kali ini adalah di Negeri Bersejarah, Melaka.

“MELAWAT MELAKA BERERTI MELAWAT MALAYSIA”

Itulah slogan yang kita akan jumpa pada pintu gerbang yang gah didirikan setiap kali memasuki Melaka melalui laluan keluar tol di Ayer Keroh, Melaka. Laluan itu juga akan membawa kita melepasi zoo Melaka dan jalan masuk ke D’ Village Resort, lokasi hari keluarga SKL diadakan. Jika anda ingin melawat Melaka seperti Zoo Melaka, Taman Buaya, Taman Rama-rama, Ladang Burung Unta, Muzium Orang Asli, Mini Malaysia, dan Hutan Rekreasi. Tempoh masa sehari sememangnya tidak mencukupi. Apatah lagi sejak adanya Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Taman Tema Air Melaka Wonderland yang baru, anda perlu sekurang-kurangnya bermalam di sana untuk satu atau dua malam. Dan tentunya salah satu lokasi penginapan yang strategik adalah di D’ Village Resort. Maklumat lanjut boleh di akses di http://www.dvillage.com.my/

Rata-rata guru yang tiba di D’ Village Resort adalah pada pukul 5 petang dengan menaiki kenderaan masing-masing walaupun mereka boleh mula menginap check-in di situ bermula jam 2 petang lagi. Ini berikutan hari tersebut adalah hari persekolahan dan masing-masing bertolak selepas waktu persekolahan. Pun begitu, masa program hanya bermula pada jam 8.30 malam di ruang dewan d'Kafe Restaurant. Oleh itu, ruang dan masa ini bolehlah digunakan untuk berehat seketika setelah penat memandu ke lokasi pertemuan. Sebelah malamnya, pada waktu yang dijanjikan semua tetamu mengambil tempat duduk masing-masing.

Majlis ucapan ringkas diadakan bagi menerangkan serba sedikit perjalanan sambutan hari keluarga kali ini. Dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengerusi majlis, Cik Nurul Azra, diiringi doa oleh Ustaz Mohd Amin dan diikuti ucapan oleh Guru Besar, En Kamaruzaman. Majlis dilihat begitu sempurna dan tersusun sekali.

Seterusnya, jemputan menikmati makan malam secara hidangan buffet. Cukup menyelerakan. Bermacam-macam hidangan disediakan oleh pihak resort dan yang tidak dapat dilupakan oleh kami ialah barbeque daging kambing. Nyum.. Nyum..

Tidak cukup dengan itu, selepas majlis malam itu berakhir, beberapa orang guru lelaki mengambil kesempatan ini untuk keluar bermain bowling. Niat bermain bowling hampir-hampir terkubur malam itu berikutan Pusat Bowling International Melaka di MITC tutup namun keinginan itu tercapai akhirnya di lokasi baru iaitu Mahkota Parade. Dapatlah masing-masing mengasah bakat yang ada walaupun hanya sempat bermain untuk dua game sahaja. Kami kembali ke resort untuk betul-betul berehat menutup hari itu pada jam 2 pagi.

Keesokannya tanggal 29 Jun2011 bersamaan 27 Rejab 1432 merupakan hari bersejarah Peristiwa Israk dan Mikraj bagi umat Islam. Kami di Negeri Sembilan menyambutnya dengan cuti umum diberikan namun di Melaka tidak mengambil hari tersebut sebagai cuti umum. Maka, keadaan ini digunakan sepenuhnya untuk kami bersiar-siar selepas check-out nanti kerana pusat-pusat membeli belah tentulah tidak sesibuk hari tidak bekerja. Hari keluarga diteruskan selepas sarapan pagi dengan acara sukaneka yang diadakan bersebelahan kawasan kafe dan kolam renang resort.

Acara dimulakan dengan meletupkan belon oleh golongan remaja, mengambil dan membawa straw menggunakan ruang diantara hidung dan mulut oleh lelaki dewasa, menyambung getah oleh perempuan dewasa, dan mengambil sesuatu dari dalam tepung oleh kanak-kanak.

Akhirnya, peluang yang tidak mungkin dilepaskan adalah mandi di kolam terbuka. Pastinya kenangan mandi kolam akan menjadi suatu sejarah yang tidak mungkin dilupakan oleh salah seorang cikgu yang tidak tahu berenang kerana kedalaman kolam yang lebih dalam dari ketinggian dirinya.

Sekian.

You May Also Like

0 comments