Sambutan Ambang Merdeka
30.08.2012, Khamis
12 Syawal 1433H
Assalamualaikum,
Dalam kesibukan mengejar murid tahun 6 untuk persiapan menghadapi peperiksaan UPSR yang akan bermula 12 hari sahaja lagi, sekolah masih sempat mengadakan majlis sambutan kemerdekaan pada hari ini. Semua murid dikehendaki memakai baju melayu dan kurung bersempena dengan tema 'orang lama' seperti pakaian orang dulu-dulu.
Bermula jam 8 pagi, murid dikumpulkan di dewan terbuka dengan sepanduk masing-masing. Mereka dikehendaki berarak dalam kawasan sekolah dengan laungan MERDEKA! Lagak mereka seperti orang zaman dahulu yang keluar beramai-ramai ke Dataran Merdeka dengan sepanduk masing-masing berkumpul dan melaungkan semangat kemerdekaan bersama. Kalau dulu kita dihidangkan dengan pandangan hitam putih di kaca televisyen, hari ini kita boleh melihat semangat yang sama dengan panorama warna warni.
Selepas perarakan, murid sekali lagi berkumpul dan mengangkat tangan membaca ikrar rukun negara diikuti dengan laungan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! sebanyak 7 kali. Jauh di sudut hati sepertinya Tunku Abdul Rahman yang melaungkan laungan itu. Inilah sebenarnya semangat yang perlu disemai dalam hati sanubari kita sebagai rakyat yang merdeka, lebih-lebih lagi kepada murid yang lahir selepas kemerdekaan. Mereka sepatutnya lebih berbangga kerana lahirnya telah mengecapi saat senang, tidak perlu mengharungi susah payah berjuang dalam menuntut kemerdekaan. Oleh itu, kemerdekaan ini mestilah kita hargai dan pertahankan dengan sepenuh jiwa dan raga agar anak cucu kita di masa hadapan turut sama dapat mengecapi nikmat ini sampai bila-bila.
Marilah sempena kemerdekaan ke-55 ini, kita sama-sama melaungkan dengan penuh semangat,
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
0 comments