Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1434H

by - August 02, 2013

02.08.2013, Jumaat
24 Ramadhan 1434H

Assalamualaikum,

Hari ini merupakan hari akhir persekolahan sebelum sekolah akan mula bercuti selama 2 minggu bermula 5 Ogos 2013 hingga 16 Ogos 2013. Cuti ini adalah bersempena dengan umat Islam yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah untuk suku kedua persekolahan.

Justeru itu, pada waktu akhir pembelajaran, satu majlis ringkas diadakan untuk menyampaikan bantuan wang sumbangan dari PIBG sekolah sebanyak RM200 dan selebihnya adalah kutipan sumbangan dari guru untuk murid yatim yang berada di SK Londah. Murid yatim yang seramai 9 orang telah dikenalpasti oleh jawatankuasa kebajikan sekolah dan sumbangan kepada mereka ini sememangnya merupakan satu kebaikan sebagai persediaan mereka untuk turut sama bergembira dalam menyambut perayaan Hari Raya nanti. Sumbangan ini telah disempurnakan penyampaiannya oleh Guru Besar SK Londah, Pn Aziah bt Ahmad.


Selepas pemberian wang bantuan tersebut, guru tidak melepaskan peluang ini untuk memberikan sedikit pesanan ringkas kepada semua murid SK Londah iaitu tatacara menghadiri rumah sanak saudara ketika di hari raya nanti.


Akhirnya sebelum murid dilepaskan untuk pulang ke rumah, mereka diminta beratur dan bersalam dengan semua guru disertakan dengan kata-kata ucapan selamat hari raya. Semoga hari raya kali ini disambut dengan meriah namun tidak pula sampai berlebih-lebihan. Sambutlah hari raya kali ini dengan niat untuk merapatkan tali silaturrahim sesama kita dan bersederhanalah dalam menyambutnya. Semoga kita semua mendapat keberkatan dan lindungan dari Ilahi hendaknya.


Akhir kata, semua warga kerja di SK Londah ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di mana jua anda berada dan Maaf Zahir dan Batin.

You May Also Like

0 comments