Total Pageviews

BLOG RASMI SEKOLAH KEBANGSAAN LONDAH

Hidup Biar Berjasa..

13/10/2010

Pada tarikh tersebut, suatu program telah diadakan pada sebelah petang waktu kokurikulum bermula jam 2.30 petang sehingga jam 5.30 petang. Seramai 21 orang murid melepasi sesi saringan pada 2 hari yang lalu akan bertanding pada petang ini. Mereka yang terpilih terdiri dari 11 orang murid tahap 1 dan 10 orang murid tahap 2.

Program yang diberi nama Pertandingan Bintang Kecil ini wujud untuk mengisi kekosongan program lepas UPSR dan dalam masa yang sama sebagai satu medium pendedahan kepada murid yang dilihat mempunyai bakat dalam nyanyian suara. Program ini juga dilihat mampu memberikan pendedahan kepada murid untuk bersantai sambil berhibur setelah hampir setahun belajar di kelas memerah otak berfikir secara kreatif dan kritis. Disamping berhibur, murid juga boleh merehatkan minda dan secara tidak langsung program sebegini mampu menarik murid untuk hadir ke sekolah dengan lebih ceria dan bersemangat.

Inilah pentas yang akan digunakan untuk murid bertanding dalam nyanyian secara karaoke nanti.

Gambar di atas merupakan barisan murid tahap satu yang menunggu giliran untuk naik kepentas membuat persembahan. Masing-masing dengan gelagat tersendiri. Namun yang pasti, semuanya tidak duduk diam dan ada sahaja anggota yang akan digerakkan. Mungkin perasaan takut dan gementar mula menguasai diri tika ini.

Persembahan dari murid tahap satu. Walaupun kecil namun sudah ada yang berani menunjukkan gaya tersendiri di atas pentas.

Para hadirin yang terdiri dari murid kokurikulum, tahun 3 hingga 6. Dua orang disebelah kiri (duduk dikerusi) merupakan juruacara majlis. Tiga orang juri dilantik untuk mengadili di meja berbalut kain berwarna merah. Tak kurang juga ibu bapa yang sanggup hadir menyaksikan dan menyokong anak mereka bertanding walaupun surat panggilan untuk ibu bapa tidak dihantar. Begitulah keperihatinan ibu bapa SK Londah ini terhadap anak-anak mereka di sekolah. Cukup tinggi dan bersemangat!

Sistem karaoke pula disewa dari luar dengan kos yang minimum. Pun begitu, cukup menggegarkan dewan terbuka SK Londah. Lihat saja gambar pembesar suara yang digunakan untuk pertandingan ini. Besarkan?

Memang hebat betullah gelagat murid SK Londah sehinggakan ada yang berani naik kepentas memberi bunga kepada bintang kecil yang sedang mendendangkan lagunya dipentas. Nasiblah penyanyinya sporting dan masih boleh meneruskan nyanyiannya walaupun merasa terganggu dengan adegan yang diterimanya. Tepukan gemuruh diberikan oleh penonton yang menyaksikan dari bawah pentas. Rasanya pihak juri ada tak markah untuk adegan begini yer?

Apa-apa pun setinggi-tinggi tahniah kepada yang berjaya. Berikut senarai mereka yang berjaya menduduki tangga pertama, kedua, dan ketiga.

Bintang Kecil Tahap 1
1) Mohd Asrul Izwan b Mohd Khairus (Tahun 3)
2) Azura bt Abdul Karim (Tahun 3)
3) Ain Nur Shahmina bt Sulaiman (Tahun 2)

Bintang Kecil Tahap 2
1) Omar Farhan b Omar (Tahun 6)
2) Muhammad Naimullah b Mustafar (Tahun 5A)
3) Nur'Afifah bt Fadlullah (Tahun 5A)
Share
Tweet
Pin
Share
2 comments
6/10/2010

Pada sebelah petang waktu kokurikulum, satu program gotong-royong telah diadakan untuk bilik-bilik khas dibangunan sekolah. Semua guru terlibat dengan disertai oleh murid-murid tahap 2 yang sepatutnya menghadiri aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Antara bilik yang terlibat ialah pusat sumber, bilik tayang, bilik bahan bantu mengajar, makmal ICT, bilik guru besar, dewan terbuka dan bilik simpanan buku teks.

Keadaan bilik yang perlu dikemaskini dan disusun atur.

Aktiviti mengecat dinding dewan terbuka.

Aktiviti mural juga diteruskan sehingga hari ini telah mengambil masa selama 7 hari.

Berehat sebentar sambil menikmati sedikit jamuan ringan. Gotong-royong masih diteruskan sehingga jam 5.30 petang.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
18/9/2010 (Sabtu)

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H!

Semuanya telah dirancang sebelum cuti raya lagi. Sekolah akan mengadakan jamuan hari raya pada hari sabtu sempena sekolah ganti pada rabu sebelumnya. Semua murid dipesan memakai baju raya dengan lelaki siap bersamping dan bersongkok. Sememangnya, mereka semua murid yang mendengar kata. Lihat saja gambar dibawah. Sempat bergaya dengan baju raya masing-masing.

Jamuan kali ini telah diadakan dibangunan lama berikutan keluasan bilik yang boleh dibuka luas mampu menampung semua yang hadir merayakan jamuan hari raya peringkat SK Londah.

Murid disusun mengelilingi meja makan untuk memudahkan mereka mengambil kuih-muih yang disediakan manakala guru disediakan meja khas didepan dengan makanan yang sedia terhidang.

Antara makanan hari raya yang tidak boleh dilupakan ialah lemang dan rendang. Bagai aur dengan tebing. Begitulah akrabnya mereka ini.

Pun begitu, pasti yang menarik perhatian hadirin ialah kehadiran cucukan sate yang mampu mengiurkan air liur sesiapa yang melihat. Setelah seminggu meraikan hari raya dengan pelbagai kuih-muih, hidangan sate masih mampu memikat hadirin yang hadir. Masing-masing dilihat menyusun batang lidi ditepi meja setelah memuaskan perut dengan keenakan daging sate ini. Murid-murid juga tidak terkecuali, beratur panjang menunggu diberikan sate dan nasi himpit.

Di akhir jamuan, murid diraikan dengan pemberian duit raya oleh Ustaz Mohd Amin (GPK KO). Masing-masing senyum meleret apabila mendapat duit raya daripada ustaz. Rugilah bagi murid yang tidak hadir ke sekolah pada hari ini.

Share
Tweet
Pin
Share
4 comments
17/9/2010 (Jumaat)

Selepas bacaan yasin pada pagi jumaat yang diadakan setiap minggu di sekolah, majlis ijabat atau lebih dikenali dengan izin ilmu telah dibuat kepada murid tahun 6 yang akan menjalani peperiksaan UPSR minggu depan. Murid tahun 6 di arah berjumpa dengan semua guru dan bersalam mohon maaf dan mohon di izinkan ilmu yang telah di ajarkan kepada mereka selama mana mereka bersekolah di sini.

Majlis ijabat berjalan lebih kurang setengah jam dan murid kembali ke kelas seperti biasa. Pada sebelah pagi itu juga beberapa guru lelaki yang berkelapangan telah diminta membantu untuk bergotong-royong dikantin sekolah melapah daging kambing yang baru disembelih oleh imam. Gotong-royong ini adalah untuk majlis bacaan yasin dan solat hajat yang akan diadakan pada sebelah malamnya juga untuk murid tahun 6 agar diberkahi Ilahi dan dipermudahkan urusan mereka menjawab soalan peperiksaan UPSR nanti.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
3/9/2010, satu majlis khatam al-Quran telah sempurna dijalankan di Surau SK Londah. Majlis ini dijayakan oleh semua warga sekolah dan diterajui oleh ustaz Zaki. Sebelum ini, bermula 6 Ramadhan 1431H bersamaan 16/8/2010 telah berlangsung tadarrus al-Quran pada setiap hari waktu rehat.

Sesungguhnya, inilah tahun pertama majlis khatam al-Quran diadakan di Surau SK Londah bersempena ramadhan al-mubarak selepas sekolah mula beroperasi dibangunan baru. Sememangnya, ruang yang luas dan suasana baru menambahkan lagi keselesaan sepanjang kelangsungan majlis ini.

Cikgu Sharifuddin memulai majlis dengan mengetuai bacaan surah yasin dan tahlil.

Murid dipertontonkan dengan animasi islamik selepas bacaan yasin dan tahlil sementara menunggu persiapan majlis khatam quran yang akan dimulakan pada pukul 10 pagi.

Surah-surah yang akan dibacakan dipaparkan pada skrin di depan surau memudahkan murid-murid lain yang tidak mempunyai kitab suci al-Quran untuk turut serta membacanya.

Majlis khatam Quran dikepalai oleh ustaz Zaki.

Tiada apa yang hendak diperkatakan melalui gambar di atas melainkan hiasan bunga telur yang cantik, putih bersih menyerikan lagi suasana majlis.

Seribu satu kelucuan terbit dari gambar di atas. Selepas majlis khatam Quran diadakan, sedikit cenderahati dihulurkan kepada semua guru dan yang paling diingati pastinya "telur cikgu Naza sudah pecah".

Tidak lupa cenderahati diberikan kepada para peserta tadarrus dan juga 3 orang murid yang berjaya menghafal semua juzu' 30 al-Quran. Tahniah diucapkan.

Disebalik tabir persiapan majlis khatam al-Quran.
Share
Tweet
Pin
Share
No comments
Pada 2/9/2010, Sekolah Kebangsaan Londah telah mengadakan program bersempena menyambut bulan kemerdekaan negara kali ke-53. Sambutan yang penuh meriah ini diketuai oleh cikgu Shafik. Berikut beberapa rentetan aktiviti sambutan bulan kemerdekaan di peringkat sekolah.

Tn Hj Mustaffa bin Ab Karim, Guru Besar SK Londah memberikan ucapan kemerdekaan.

Murid-murid SK Londah yang bersemangat sejak pagi mengibarkan jalur gemilang.

Pertandingan mendeklamasi sajak dan puisi antara aktiviti yang turut diselitkan.

Pertandingan pakaian beragam juga antara aktiviti yang menarik perhatian.

Pertandingan menyanyikan lagu patriotik.

Pertandingan mewarna dan melukis poster dengan tema "1Malaysia Menjana Transformasi".

Sebahagian jawatankuasa kerja yang bertungkus lumus menyusun acara.

Menyelami Erti Kemerdekaan

Pendita Za’aba mengungkap erti kemerdekaan adalah tentang: “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Za’aba, hlm. 124).


Sentiasalah beringat bahawa orang yang berjiwa dan berminda merdeka adalah orang yang tidak terkongkong dengan budaya ‘kampung’, terbelenggu dengan nafsu, ta'sub dan fanatisme. Sebaliknya orang yang benar-benar merdeka adalah orang yang tahu identiti dan harga dirinya, lalu membina keupayaannya agar ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’. Orang yang dapat berfikir jauh kehadapan, menembusi sempadan ‘kampungnya’, melepasi kepentingan diri dan kepuakan, untuk memikirkan kepentingan bangsa, negara, agama dan umat.

Kronologi Perjuangan Menuntut Kemerdekaan

Bila : 31 Ogos 1957
Rentetan
: Jam 12.01 pagi di Padang Kelab Selangor berdepan bangunan Sultan Abdul Samad. Bendera Britain, Union Jack diturunkan buat kali terakhir dan digantikan dengan bendera Persekutuan yang dilakukan oleh Hamzah Alang sambil disaksikan pemimpin negara serta ribuan penduduk Persekutuan.

Pada jam 8.00 pagi di Stadium Merdeka, Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia di depan wakil Ratu Elizabeth, Duke Of Gloucester, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris terakhir Sir Donald Mac Gillivray, Raja-Raja Melayu, Gabenor dan orang kenamaan serta berpuluh ribu rakyat mengistiharkan Kemerdekaan Tanah Melayu yang berdaulat. Pengisytiharaan itu berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, di depan 25 000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-Raja Melayu serta perwakilannya dari 30 negara Komanwel dan negara asing lain.

Sebaik Duke of Gloucester membaca ucapannya yang memansuhkan kuasa pemerintahan Britain di bumi Tanah Melayu, Tunku kemudian memberi ucapan sambil melaungkan 'Merdeka!' sebanyak tujuh kali.

Serentak itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu yang menjadi lambang perpaduan, keutuhan bangsa dan kedaulatan negara dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan 'Negaraku' yang pertama kali diperdengarkan, diikuti seruan azan dan tembakan meriam. Dengan perisytiharaan itu berakhirlah cengkaman penjajah Britain dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu, termasuk Pulau Pinang dan Melaka.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

P/S: Bijak pandai pernah berpesan: ‘mereka yang tidak belajar dari sejarah, mereka didera dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’

Share
Tweet
Pin
Share
1 comments
Pada 20/8/2010, satu latihan kebakaran telah dilakukan. Latihan ini bertujuan melatih murid sekolah untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran yang berlaku dibangunan sekolah. Sebelum latihan diadakan, pelan pergerakan ke tempat selamat telah dibekalkan dan ditampal di kelas-kelas dan juga di bilik-bilik khas. Murid dikehendaki mengikuti arah pergerakan yang ditunjukkan dalam pelan untuk bergerak ke tempat selamat.

Latihan ini diadakan secara mengejut dengan tidak diberitahu terlebih dahulu kepada murid. Bermula dengan bunyi loceng kebakaran, maka guru-guru yang berada di kelas hendaklah mengumpulkan murid dalam keadaan berbaris dan bergerak menuju ke tempat selamat seperti yang ditunjukkan dalam pelan kebakaran.

Murid bergerak ke tempat selamat dalam keadaan berbaris.

Murid dikumpulkan mengikut kelas dan guru kelas mengira jumlah murid mengikut kelas masing-masing.

Murid diberikan taklimat ringkas mengenai sebab dan tujuan latihan diadakan oleh cikgu Rafdi.

Share
Tweet
Pin
Share
1 comments
Pada 30/7/2010 hingga 1/8/2010 iaitu bermula hari jumaat sehingga ahad selama 3 hari, SK Londah telah mengadakan kem kokurikulum untuk murid tahap 2. Tujuan kem ini diadakan ialah untuk menarik minat murid menyertai persatuan badan beruniform disekolah dan juga sebagai proses mendisiplinkan murid dalam kehidupan harian.

Kem bermula pada sebelah petang hari jumaat. Kira-kira selesai solat jumaat, peserta diangkut oleh guru-guru menaiki kenderaan guru masing-masing manakala barang-barang keperluan lain diangkut dengan lori yang disewa khas oleh penganjur.

Setibanya di tapak perkhemahan, peserta perlu membersihkan kawasan perkhemahan dan menaikkan khemah masing-masing mengikut kumpulan yang telah dibahagikan sebelumnya.

Inilah ruang astaka yang disediakan oleh pemilik tapak perkhemahan, sememangnya luas, selesa dan indah. Sesuai untuk murid berkumpul dan mengadakan aktiviti.

Setelah khemah siap dipasang, murid dihimpunkan buat pertama kalinya untuk diberikan taklimat ringkas mengenai aturcara program. Cikgu Zamri (bertopi) sebagai kem komandan sepanjang perkhemahan ini telah diberikan mandat untuk mengetuai kem ini sehingga tempoh berakhir 1 Ogos nanti.

Petang itu juga, setelah selesai solat Asar, murid diberikan tugasan untuk membuat panji mengikut kumpulan masing-masing. Masa yang diberikan adalah selama 1 jam.

Lebih kurang jam 6 petang, murid dikumpulkan sekali lagi untuk mempersembahkan hasil kreativiti kumpulan masing-masing membuat panji. Panji ini dinilai dan pemarkahan diambil sepanjang murid melakukan pembentangan. Panji mestilah ringkas dan penuh dengan mesej. Panji ini juga akan dijadikan simbolik kumpulan dalam perkhemahan sehingga tamat perkhemahan.

Sebelum maghrib, murid diberi makan malam. Guru-guru bertugas akan memastikan semua murid mendapat makanan secukupnya. Sepanjang perkhemahan, makan berat seperti waktu pagi, tengahari, dan malam akan dibawakan khas dari kantin sekolah. Manakala makan ringan sahaja disediakan ditapak perkhemahan. Ini bagi mengelakkan masa dari banyak dibuang pada aktiviti penyediaan makanan sahaja. Dengan penjimatan ini, guru-guru bertugas akan lebih difokuskan kepada aktiviti dalam perkhemahan.

Murid-murid di bebaskan makan dimana-mana. Namun, mestilah sentiasa dalam kumpulan dan menjaga tatatertib dan adab makan. Selepas makan, mereka diwajibkan membasuh sendiri pinggan dan cawan yang telah digunakan. Ini bertujuan agar murid lebih berdisiplin dan mengamalkannya dalam kehidupan harian terutama di rumah.

Pada malam sabtu, iaitu malam pertama perkhemahan, satu sesi ceramah telah dilakukan oleh seorang pegawai polis yang dijemput khas dari balai polis, Gemas iaitu Sarjan Ahmad Fauzan. Beliau diminta menyampaikan ceramah mengenai jenayah khususnya jenayah juvenail pada malam tersebut. Ceramah ini berterusan sehingga jam 11 malam.

Keesokannya, bermula jam 8 pagi setelah murid siap makan, melakukan senaman, dan perbarisan, sekali lagi satu sesi ceramah yang lain dimulakan. Kali ini, ceramah ini khusus mengajar murid untuk boleh membaca kompas dan bearing. Penceramah yang dijemput ialah Encik P Kumaresan a/l Papanan (baju merah) dari SJKT Jeram Padang, Rompin.

Murid dipastikan boleh membaca kompas. Ini berikutan, tugasan selepas ini memerlukan murid membaca kompas untuk menentukan arah stesen-stesen yang mengandungi tugasan untuk setiap kumpulan. Disamping itu juga, murid juga didedahkan dengan ikatan. Ada 3 ikatan yang diajar iaitu ikatan manok, tindih kasih, dan buku sila.

Selepas selesai sesi ceramah membaca kompas dan ikatan, tibalah masanya murid diuji kemahiran mereka. Setiap kumpulan akan dibekalkan dengan satu kompas dan diminta menggunakan kompas itu untuk menentukan arah stesen yang perlu mereka tujui. Di setiap stesen, telah ada guru yang bertugas untuk memberikan arahan berkenaan tugasan yang perlu dibuat oleh setiap kumpulan sebelum diberikan arah tuju yang baru ke stesen berikutnya.

Sempat juga kem ini dikunjungi pegawai dari PPD Tampin iaitu En Ramanujan a/l Arumugam. Beliau merupakan seorang penyelia kokurikulum di PPD Tampin. Gambar di bawah menunjukkan beliau (berbaju merah) sedang mendengar perjalanan program yang diberitakan oleh guru besar (sebelah kanan) dan GPK KO (sebelah kiri).

Pada sebelah petang hari sabtu, murid dilepaskan dalam kumpulan memancing dikolam bersebelahan tapak perkhemahan. Dengan di awasi ramai guru, setiap kumpulan perlu menaikkan seberapa banyak ikan yang boleh. Penilaian dan pemarkahan juga diambil di sini.

Rata-rata murid sependapat mengatakan inilah aktiviti paling best dalam perkhemahan, iaitu pertandingan memancing. Banyak ikan yang diperolehi murid dengan hanya berumpankan cacing dan joran yang dibuat sendiri oleh murid dari rotan dan batang pokok bertam. Lihat sahaja gambar dibawah.

Pada sebelah malamnya, bertambahlah kerja guru menyiang ikan yang banyak ditangkap oleh murid. Siapa lagi yang dimangsakan menyiang ikan kalau bukan GPK KO dan Kem Komandan sendiri.

Keesokannya, murid diminta membersihkan kawasan perkhemahan dan gotong-royong menurunkan dan membungkus kembali khemah-khemah yang telah dipasang. Kira-kira jam 10.30, majlis penutup diadakan dan perjalanan pulang bermula jam 12 tengah hari.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
Newer Posts
Older Posts

Mahukan Percutian Bajet?

Blog Archive

  • March 2023 (1)
  • January 2021 (1)
  • August 2020 (1)
  • July 2020 (5)
  • January 2020 (2)
  • December 2019 (2)
  • May 2019 (1)
  • March 2019 (9)
  • February 2019 (4)
  • December 2018 (2)
  • November 2018 (1)
  • September 2018 (3)
  • August 2018 (6)
  • March 2018 (1)
  • March 2017 (3)
  • January 2017 (1)
  • August 2016 (3)
  • June 2016 (1)
  • February 2016 (1)
  • January 2016 (3)
  • December 2015 (1)
  • November 2015 (2)
  • October 2015 (1)
  • September 2015 (1)
  • August 2015 (1)
  • July 2015 (3)
  • June 2015 (2)
  • May 2015 (2)
  • June 2014 (1)
  • January 2014 (2)
  • November 2013 (5)
  • October 2013 (3)
  • August 2013 (2)
  • July 2013 (1)
  • May 2013 (5)
  • April 2013 (2)
  • March 2013 (1)
  • February 2013 (2)
  • January 2013 (2)
  • November 2012 (2)
  • September 2012 (4)
  • August 2012 (3)
  • July 2012 (3)
  • June 2012 (2)
  • May 2012 (2)
  • March 2012 (3)
  • February 2012 (2)
  • November 2011 (5)
  • October 2011 (2)
  • September 2011 (3)
  • July 2011 (7)
  • June 2011 (2)
  • April 2011 (1)
  • February 2011 (1)
  • January 2011 (1)
  • November 2010 (3)
  • October 2010 (2)
  • September 2010 (4)
  • August 2010 (2)
  • July 2010 (5)
  • June 2010 (4)
  • May 2010 (8)
  • April 2010 (6)
  • March 2010 (4)
  • February 2010 (5)

Popular Posts

  • Hari Pertama Minggu Pembukaan Sekolah 2023/24
    Assalamualaikum & Salam Perpaduan. Ini ada throwback bagi Hari Pertama Minggu Pembukaan Sekolah 2023/24. Tahun ini dalam sejarah, tiada ...
  • Latihan Kebakaran
    Pada 20/8/2010, satu latihan kebakaran telah dilakukan. Latihan ini bertujuan melatih murid sekolah untuk bersiap sedia bagi menghadapi seba...
  • KEJOHANAN BOLA TAMPAR PERINGKAT DAERAH
    Pada 20 sehingga 22 Februari telah berlangsungnya Kejohanan Bola Tampar Peringkat Daerah. Alhamdulillah Pasukan Londah mendapat keputusan y...
  • Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali ke-63
    Alhamdulillah, pada 19 Ogos 2020 yang lalu, SK Londah telah berjaya melaksanakan majlis Perasmian Bulan Kemerdekaan Kali ke-63.  Majlis diad...
  • SEJARAH SEKOLAH
    SEKOLAH KEBANGSAAN LONDAH Sekolah Kebangsaan Londah mula ditubuhkan pada 01.02.1955. Ia terdiri dari pelajar tahun 1, 2 dan 3 yang berasal d...

Hi! Want to say something to us?

Your Name

Your Email*

Your Message*

KPM

Loading...

JPNNS

Loading...

Created with by ThemeXpose | Distributed by Blogger Templates