Total Pageviews

BLOG RASMI SEKOLAH KEBANGSAAN LONDAH

Hidup Biar Berjasa..

12.11.2011 (Sabtu), 16 Zulhijjah 1432H

Assalamualaikum,

Pada tarikh ini satu lawatan khas untuk murid tahun 6 telah diadakan. Lawatan ini yang dikelolakan oleh Cikgu Dayang telah membawa murid tahun 6 seramai 43 orang menaiki bas ke negeri bersejarah, Melaka. Slogan "Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia" tersergam indah di pintu gerbang kala melalui laluan Ayer Keroh menuju ke destinasi pertama iaitu Muzium Lebah Sedunia. 


Masuk adalah percuma. Pelbagai jenis lebah dipamerkan di sini dan kesemuanya telah di awet untuk mengekalkan keaslian dan memperlihatkan bentuk lebah yang sebenar. Ada juga lebah yang dibiarkan terbang bebas dikawasan pameran namun anda tidak perlu bimbang disengat kerana menurut pegawai bertugas lebah itu telah pun dijinakkan. Jika anda datang ke muzium lebah, jangan lupa untuk menghirup madu lebah yang disediakan secara percuma. Pilih sahaja mana yang anda suka. Sebanyak 6 jenis madu yang sesuai untuk semua peringkat umur di sediakan di sini. Namun untuk membawa pulang, anda perlulah mengeluarkan sedikit wang untuk membelinya di kedai jualan.


Selepas muzium lebah, destinasi seterusnya ialah Zoo Melaka. Tidak sampai 5 minit keluar dari destinasi pertama anda akan sampai ke Zoo Melaka.


Tidak seperti muzium lebah, anda perlu beratur dan membayar tiket masuk untuk melihat binatang yang dipamerkan di sini. Agak bernasib baik, selepas rombongan kami sampai berbondong-bondong lagi rombongan murid dari sekolah lain turut sama sampai ke sini. Jadi sempatlah ketua rombongan terlebih dahulu memasuki laluan tiket dengan mudah dan tidak perlu beratur panjang. Mereka yang lain terpaksalah menunggu giliran masing-masing untuk memasuki zoo. Di sini murid dibiarkan bebas dan arahan telah diberikan lebih awal untuk mereka berkumpul kembali pada waktu dan tempat yang ditentukan. Bagi pendapat saya masa 2 jam diperlukan untuk melihat kesemua binatang disini. Ini kerana keluasan zoo dengan keluasan 54 ekar memerlukan masa yang lama untuk berjalan jauh dan berehat juga sesekali untuk mengambil nafas baru sebelum meneruskan perjalanan. Namun bagi mereka yang tidak mampu berjalan kaki, anda mempunyai pilihan menaiki pengangkutan yang disediakan di dalam zoo.
 

Seterusnya kami menaiki bas menuju ke Bandar Hilir. Kami hanya melintasi dataran Menara Taming Sari di dalam bas kerana kawasan itu penuh dengan pengunjung yang datang dari negeri lain. Risau dengan keadaan yang penuh sesak kami terus menuju ke Masjid Selat Melaka yang didirikan di atas laut yang telah ditambak. Masjid yang cantik dan luas ini sangat indah dan menenangkan dengan deruan angin dari laut menerjah masuk ke ruang dewan solat mengasyikkan lagi jemaah yang sedang beribadat. Keadaan ini memperlihatkan penjimatan dari segi kos menggunakan penyaman udara dan kipas apabila tiada satu pun kipas yang dibuka pada waktu itu walaupun ketika itu panas terik pada waktu zohor. Cukup dengan hembusan angin dari luar yang tidak henti-henti bertiup.


Masjid ini juga menyerupai Masjid Terapung, Kuala Ibai yang terletak di Kuala Terengganu kerana didirikan di atas laut. Sebagai tanda peringatan, semua peserta rombongan bergambar kenangan di masjid ini.


Destinasi ke-4, murid dihadiahkan untuk keluar membeli belah di Mydin, MITC Melaka. Namun tidak banyak barang yang mampu dibeli di situ pada hari itu. Bukan kerana tiada wang, hanya kerana menyahut seruan kerajaan untuk tidak menggunakan beg plastik pada setiap hari sabtu. Maka, barang yang sekadarnya sahaja mampu di bawa pulang oleh peserta. Mungkin bagi peserta yang tidak membeli barang perlu juga membawa barang kawan yang terlebih beli di pusat membeli belah ini.

Pada lewat petang murid kembali ke tempat penginapan di D'Village Resort. Murid sempat melepaskan penat seharian berjalan di negeri Melaka dengan bermandi manda di kolam resort. Malamnya, murid mengikuti acara makan malam yang khas disediakan untuk mereka dan diraikan sebagai tetamu dalam jamuan perpisahan murid tahun 6 Sekolah Kebangsaan Londah.


Pada malam ini, kesemua warga SK Londah berkumpul dalam 3 majlis yang dijalankan serentak. Majlis itu ialah Majlis Perpisahan Murid Tahun 6 2011, Majlis Persaraan Cikgu Rafdi, dan Majlis Jamuan Akhir Tahun bagi Kelab Guru.

Keesokannya, murid pulang dengan menaiki bas kembali ke sekolah dan ke rumah masing-masing.

P/S: Pada tanggal 17hb ini murid tahun 6 akan mengambil slip keputusan UPSR 2011. Diharapkan murid berbangga dengan pencapaian masing-masing dan tahniah kepada mereka yang berjaya dengan cemerlang.
Share
Tweet
Pin
Share
2 comments
21.10.2011 (Jumaat), 23 Zulkaedah 1432H

Assalamualaikum,

Pada tarikh ini diadakan suatu aktiviti perkhemahan unit beruniform di sekolah. Aktiviti ini berlangsung selama 3 hari sehingga 23 Oktober 2011. Pada 24 Oktober 2011 pula, sekolah telah memohon cuti peristiwa sempena aktiviti ini. Seramai 109 orang murid tahap 2 telah mengambil bahagian dengan semua kakitangan sekolah dan AJK PIBG telah dikerah memimpin murid dalam perkhemahan kali ini.   

Bermula pagi hari Jumaat, khemah telah terlebih dahulu didirikan. Lebih kurang jam 3 petang barulah pendaftaran murid dilakukan diikuti oleh taklimat perkhemahan oleh Kem Komanden, En Mohd Zamri b Abdurahman. Selepas solat Asar, murid yang telah dibahagikan dalam 8 kumpulan memulakan aktiviti yang pertama iaitu pemasangan gajet. Pada sebelah malamnya selepas Isyak, murid sepatutnya mengikuti acara 'night walk' namun terpaksa ditangguhkan keesokan pagi kerana hari hujan lebat. Murid telah dikumpul di dewan terbuka dan menonton sebuah telefilem yang cukup menginsafkan bertajuk 'Sebelum Akhirat'. Dek kerana itu juga ketua perkhemahan terpaksa mengikuti plan B yang mana murid terpaksa tidur dikelas berikutan keadaan khemah yang basah dan tidak selesa untuk didiami.

Pagi Sabtu seawal jam 7 pagi murid melakukan aktiviti 'morning walk' dalam keadaan berkabus mengikuti laluan 'night walk' yang telah tertunda malam tadi. Walaupun murid boleh melihat dengan jelas laluan yang diredah namun ianya juga cukup mencabar kerana murid dikerah berjalan melalui sawah padi yang belum ditabur benih padi namun penuh berair dan berlumpur kerana telah dibajak sekali. Maka ramailah diantara mereka yang menjerit kerana takutkan lintah. Selesai sarapan pagi, murid menjalani latihan berhalangan ala komando. Antara halangannya ialah murid terpaksa memanjat bukit menggunakan tali ala 'wall climbing', berlari dalam tayar kereta, bergerak mengundur melalui gelung rotan, merangkak atas meja, susup dan lompat, dan merangkak di bawah jaring dengan lumpur telah diletakkan terlebih dahulu di laluan tersebut. Selepas itu barulah murid dibenarkan mandi setelah bergelumang dengan lumpur. Lebih kurang jam 10 pagi, murid mengikuti aktiviti memasak. Mereka dibekalkan dengan ayam dan sayur kobis. Mereka perlu memasak dengan dibantu oleh guru pembimbing sebagai makanan tengahari mereka untuk hari itu. Sebelah petang, murid melakukan aktiviti di dewan yang diketuai oleh cikgu Dayang. Selepas Asar, murid berehat dan berlatih untuk aktiviti pada sebelah malamnya iaitu malam kebudayaan.

Pagi Ahad, murid mengikuti ceramah alam remaja yang diberikan oleh kaunselor PPD Rembau, En Asnizar yang dijemput khas untuk memberikan sedikit sebanyak pengetahuan alam remaja kepada murid. Selepas itu murid bersiap untuk pulang dan majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YDP PIBG, En Mohd Jani b Ismail. 

Pihak sekolah merakamkan sekalung TAHNIAH buat semua yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung samada melalui tenaga atau wang ringgit dalam aktiviti perkhemahan kali ini. SYABAS buat semua. 



P/S: Gambar penuh boleh dilihat di laman facebook sekolah, sklondah@hotmail.com.
Share
Tweet
Pin
Share
No comments
11.10.2011 (Selasa), 13 Zulkaedah 1432H

Assalamualaikum,

Pada pagi ini diadakan program futsal untuk murid tahun 6. Program ini berlangsung selama tiga hari bermula dari tarikh di atas pada setiap pagi seawal jam 8 pagi sehingga waktu rehat persekolahan. Program ini disertai oleh semua murid tahun 6 seramai 43 orang. Ianya bertujuan menarik minat murid kepada sukan futsal. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memilih pemain berbakat untuk diketengahkan ke peringkat daerah.




Share
Tweet
Pin
Share
No comments

23.9.2011 (Jumaat), 25 Syawal 1432H

Assalamualaikum,

Pagi ini majlis dimulakan di surau sekolah dengan bacaan yasin dan tahlil arwah ke atas Allahyarham mantan Guru Besar, Cikgu Kamaruzaman bin Joned yang telah pulang ke rahmatullah semalam. Semoga rohnya di limpahi rahmat.

Selepas itu, semua guru dan murid berkumpul di dewan sekolah untuk memulakan majlis khatam al-Quran dan sambutan hari raya yang sungguh meriah dengan pelbagai lauk pauk dan kuih muih telah dihidangkan untuk dijamu kepada semua hadirin. Turut kelihatan dalam majlis ialah NYDP PIBG, En Samson.




Share
Tweet
Pin
Share
No comments
22.9.2011(Khamis), 24 Syawal 1432H

AL-Fatihah buat Allahyarham Cikgu Kamaruzaman bin Joned, mantan Guru Besar SK Londah yang baru meninggalkan kita pagi ini sekitar jam 9 pagi. Pihak sekolah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan yang besar dalam dunia pendidikan.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
21.9.2011 (Rabu), 23 Syawal 1432H

Assalamualaikum,

Hari ini merupakan hari penutup bulan kemerdekaan peringkat sekolah. Beberapa acara telah diadakan. Ianya dimulakan dengan Pertandingan Deklamasi Sajak, diikuti dengan Pertandingan Pakaian Beragam pada sebelah pagi. Manakala selepas rehat disambung dengan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik dan diakhiri dengan Penyampaian Hadiah.




Share
Tweet
Pin
Share
No comments

29.7.2011 (Jumaat), 27 Syaaban 1432

Assalamualaikum,

Pada hari ini diadakan satu majlis perpisahan di Sekolah Kebangsaan Londah. Seorang guru besar yang banyak membawa pembaharuan kepada pembangunan SK Londah sejak bulan dua yang lalu akan mulai bersara daripada perkhidmatannya sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran pada 1 Ogos ini. Dilihat dari tempoh masa beliau bertugas selama lebih kurang 5 bulan di sekolah ini, ramai akan mengagak tiada apa yang sempat dibuat oleh beliau. Namun komitmen beliau yang sudah banyak bertugas sebagai guru besar di sekolah lain sebelumnya membuatkan beliau tidak mengambil masa yang lama untuk memikirkan perubahan apakah yang boleh di bawa ke SK Londah ini.

Kalau Tun Abdul Razak merupakan Bapa Pembangunan Malaysia suatu ketika dulu. Cikgu Kamaruzaman bolehlah di kira Bapa Pembangunan SK Londah setelah apa yang beliau adakan sepanjang perkhidmatan beliau di sini. Antaranya yang akan diingati ialah pembinaan gelanggang bola tampar, membangunkan tapak semaian, dan mewujudkan sebuah taman rekreasi.

Majlis pada hari yang mulia ini dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil arwah pada sebelah pagi bermula jam 7.30 pagi di surau sekolah. Setelah itu majlis persaraan dimulakan pada jam 8.30 pagi di dewan terbuka. Ramai tetamu yang terdiri daripada jawatankuasa PIBG datang memeriahkan majlis. Ketibaan tetamu jemputan lain juga turut mengindahkan lagi seri majlis antaranya bapa angkat polis sekolah, Sarjan Hamzah dari balai polis gemas, ketua kampung londah, naib YDP PIBG, YDP PIBG, dan pegawai pelajaran daerah, En Azami.

Sepanjang majlis berlangsung, beberapa ucapan penghargaan dan selamat bersara telah diberikan oleh Puan Hamimi bt Abdullah (GPK1), diikuti En Mohd Jani (YDP PIBG), dan En Azami (PPDT). Akhirnya ucapan penutup diberikan kepada En Kamaruzaman, Guru Besar SK Londah untuk memberikan ucapan terakhir beliau bertugas di Sekolah Kebangsaan Londah.

Mengenangkan jasa beliau yang banyak membangunkan beberapa kawasan di SK Londah, beliau telah diberikan keutamaan untuk merasmikan taman rekreasi SK Londah. Selepas itu, semua hadirin dan murid-murid menjamu selera.

Selesai makan, beliau bersalaman dengan semua murid SK Londah. Masa dan ketika ini juga diambil oleh murid untuk mengucapkan ucapan terima kasih kepada guru besar mereka. Tidak terkecuali juga kami, guru SK Londah juga mengambil kesempatan ini berpelukan dan mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Setelah itu, beliau menandatangani buku kehadiran buat kali terakhir dan diarak dengan kompang menuju ke kenderaannya. Begitulah berakhirnya episod seorang guru besar yang bersara dari perkhidmatannya. Kenderaannya bergerak perlahan keluar dari perkarangan sekolah dengan suasana yang sayu. Sekali lagi Sekolah Kebangsaan Londah kehilangan guru besar.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments

22.7.2011 (Jumaat), 20 Syaaban 1432

Assalamualaikum,

Pada tarikh ini, satu program motivasi untuk murid tahun 6 telah dirancang sebagai persediaan mereka menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi.

Program ini bermula pukul 3 petang dengan aktiviti ice breaking yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Aktiviti ini dikelolakan oleh cikgu Dayang selama tempoh 1 jam. Murid kemudiannya dibahagikan kepada fasililator yang terdiri dari kalangan guru SK Londah untuk sesi perkongsian masalah dalam pembelajaran. Lebih kurang pukul 5.30 petang murid sembahyang Asar berjemaah dan murid dibenarkan melakukan aktiviti bebas sebelum bermulanya proses motivasi pada sebelah malamnya. Pada pukul 6.30 petang, semua peserta program diberikan makan malam.

Pada sebelah malamnya bermula jam 7 petang, semua hadirin yang terdiri dari ibubapa murid dan peserta program berkumpul di surau sekolah menunggu solat Maghrib berjemaah. Ceramah motivasi di mulakan sebaik sahaja semua hadirin selesai solat Maghrib. Motivasi ini diberikan oleh penceramah jemputan iaitu Tn Hj Masri bin Mohamad, seorang pegawai felda dari Palong 1.

Program ini berjalan dengan baik sepanjang motivasi diberikan selama hampir 2 jam. Akhirnya, semua hadirin bangun untuk solat Isyak dan sebaik selesai solat semua hadirin dijemput menjamu selera. Majlis berakhir selepas itu.

Diharapkan program motivasi ini dapat sedikit sebanyak memberikan input yang berguna kepada semua hadirin dan peserta untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan diri dan akademik.

Sekian.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments

20.7.2011 (Rabu), 18 Syaaban 1432

Assalamualaikum,

Pada tarikh di atas, dua peristiwa besar telah berjalan serentak dan mengecutkan perut semua guru SK Londah. Apa dia yer?

Tepat sekali.. PEMANTAUAN PPD dan PERTANDINGAN ROBOTIK!

Sesiapa yang berada di sekolah tentulah tak senang duduk menunggu. Adakah aku akan di panggil? Adakah aku kena pantau? Harap-harap fail yang aku buat tu lengkap, tak ada masalah.

Bagi yang pergi untuk robotik, lain pula debarnya. Kalau lepas lulus pun jadilah daripada tak dapat apa langsung. Murid yang masuk bertanding tapi cikgunya yang macam nak pitam ketakutan. Hahaha..

Pun begitu, masa sentiasa beredar. Tidak tunggu kita. Kalau kita lambat, kita akan ketinggalan. Kalau kita cepat, kesian masa kita tinggalkan. Apa pun, hari yang tak sanggup dilalui tetap datang. Hanya masa lalu yang akan ditinggalkan makin jauh dan jauh.

Apa pun pada hari itu semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Tiada keluh kesah kedengaran. Komen pentadbir juga memaklumkan tiada sebarang masalah major sepanjang pemantauan. Masalah minor? Biasalah. Adalah beberapa perkara perlu diperbaiki.

Robotik? Kategori regular masih menampakkan jalan buntu. Pun begitu, kategori open cukup sengit dan sekolah berjaya mendapat saguhati tempat ke-4 dan ke-5 bagi 2 pasukan yang dihantar. Malah lebih dari itu cikgu Zamri telah dinobatkan selaku mentor terbaik bagi pertandingan tersebut.

Alhamdulillah..

Cukuplah penghargaan yang diberikan itu sebagai pencetus semangat untuk terus melakukan yang terbaik.

Sekian.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
13.7.2011 (Rabu), 11 Syaaban 1432

Assalamualaikum,

Pada hari ini, sebahagian murid yang terdiri dari murid tahun 3 hingga 6 telah menyertai rombongan belajar ke Melaka. Mereka menaiki sebuah bas dengan diiringi beberapa orang guru. Berikut pengalaman yang saya minta tulis kembali kenangan sepanjang lawatan tersebut oleh seorang murid lelaki tahun 6 tanpa sebarang pengubahsuaian (edit).


Pada hari rabu yang lalu saya dan rakan-rakan mengikuti rombongan ke Melaka. Kami pergi menaiki bas yang disewa cikgu.

Setibanya di sana kami dibawa ke Kompleks Al-Khawarizmi. Pelbagai teknologi sains yang dipamerkan. Kami juga sempat melihat tayangan 3D.

Selepas itu kami pergi ke bandar hilir. Kami di bawa ke muzium pahlawan. Banyak sejarah yang dapat kami ketahui. Seterusnya kami dibawa ke muzium islam. Kami dapat melihat Al-Quran emas dan pelbagai lagi.

Selain itu, kami dibawa melawat muzium Tunku Abdul Rahman. Terdapat banyak sejarah bermulanya kemerdekaan. Kami dapat menaiki river cruss dan menaiki menara taming sari.

Kami gembira dapat mengikuti rombongan ke Melaka. Ibu bapa kami menunggu di sekolah.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
22.7.2011 (Jumaat), 20 Syaaban 1432


“Abah”, itulah panggilan kami kepadanya. Abah berpendidikan hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja dan bekerja sebagai seorang pekerja industri di sebuah kilang di Shah Alam.

Setiap hari, abah akan memakai uniform birunya yang semakin hari, semakin lusuh itu untuk pergi bekerja. Abah akan menunggang motosikal Yamaha Lagendanya ke tempat kerja yang memakan masa lebih kurang 50 minit perjalanan dari rumah. Memandangkan abah bekerja mengikut shif, abah telah mencadangkan agar mama yang dahulunya seorang kakitangan pentadbiran di sebuah syarikat, agar berhenti bekerja untuk menguruskan kami adik-beradik.

Itulah serba sedikit latar-belakang mengenai abah yang merupakan idola dan kebanggaan kami. Sememangnya, abah adalah seorang bapa yang sangat penyayang. Abah sangat menyayangi kami walaupun perasaan itu tidak pernah diterjemahkan menerusi kata-kata. Tetapi, dari riak wajah dan segala pengorbanan abah, aku tahu bahawa abah sangat menyayangi kami semua. Abah sentiasa memberikan perhatian serta tujuk ajar kepada kami anak-anaknya. Kadang-kala abah memarahi kami di atas kesalahan yang kami lakukan. Bagaimanapun, kami masih merasakan kebahagiaan kasih sayang abah setiap kali abah memarahi kami kerana kami menganggap tindakan abah itu merupakan satu jelmaan perasaan kasih sayang yang tidak ternilai harganya. Tanpa perasaan yang lahir dari seorang bapa itu, kami percaya kesilapan mahupun kesalahan akan terus dilakukan.

Abah juga adalah seorang bapa yang bertanggungjawab kepada keluarga. Bagi abah, tiada perkataan berputus asa dalam kamus hidupnya demi mencari rezeki buat keluarga meskipun kerap mengalami kegagalan tetapi abah tidak pernah berputus asa. Seingat aku, abah telah tiga kali mengalami kegagalan dan yang terbaru abah telah menjadi mangsa kegagalan perniagaan yang diuruskan oleh saudara kami. Abah terpaksa menanggung beban hutang bank yang perlu dijelaskan setiap bulan. Ekoran dari itu, kami adik-beradik juga terkena tempiasnya apabila wang perbelanjaan yang sepatutnya cukup untuk kami terpaksa digunakan untuk membayar hutang bank setiap bulan.

Demi untuk menambah pendapatan , abah kerap membuat kerja lebih masa. Selama dua tahun berturut-turut abah tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun pada hakikatnya abah mengalami sakit lutut dan sendi kerana terlalu penat bekerja. Abah seorang yang cekal dan bersemangat tinggi. Abah tidak pernah menjadikan hal tersebut sebagai alasannya untuk tidak pergi bekerja kerana kata abah, “Rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya kita tidak berusaha mencari rezeki. Bagaimana rezeki itu mampu diperoleh sekiranya kita hanya duduk sahaja?”

Meskipun mengalami masalah kewangan yang agak runcing, tetapi abah masih terus berusaha sedaya –upaya untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa. Abah seorang bapa yang begitu prihatin terhadap keperluan keluarganya. Abahlah yang mencari wang untuk menyekolahkan kami dan menghantar aku ke pusat tuisyen. Semuanya dilakukan demi untuk melihat kami berjaya kerana itulah satu-satunya harapan abah pada kami. Abah lebih mengutamakan keluarga dari dirinya sendiri. Segala keperluan mahupun kemahuan yang kami perlukan sentiasa dipenuhi sedangkan dirinya tidak pernah mahukan apa-apa. Bagi abah, apa yang ada sudah mencukupi kerana kami lebih memerlukan.

Tiap-tiap hari abah akan membawa bekal makanan dari rumah ke tempat kerja semata-mata untuk berjimat. Inilah yang membuatkan kami semakin hari, semakin sayang dan berbangga kepada abah kerana pengorbanannya terlalu besar dan tidak mampu untuk kami balas. Setiap hari sebelum aku ke sekolah, setiap kali aku bersalaman dan mencium tangan abah, abah akan berpesan, “Belajar rajin-rajin kalau tak nak kerja macam abah. Bila dah Berjaya nanti belikan rumah besar untuk abah dengan mama ya.”

Kata-kata abah itu begitu menusuk kalbuku, tetapi kata-kata inilah yeng membakar semangat aku untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencipta kejayaan. Bagiku, sudah menjadi tanggungjawab aku sebagai seorang anak untuk berjaya dan membalas segala jasa abah yang telah bersusah-payah menempuh segala onak dan duri kehidupan demi membesarkan kami semua. Setiap kali selesai solat fardhu, aku akan berdoa kepada Allah agar semua kerja-kerja abah mendapat keberkatan dan dimurahkan rezeki serta hidup keluarga kami akan kembali ceria seperti dahulu.

Kegigihan abah menjadi sumber inspirasi kami adik-beradik untuk belajar bersungguh-sungguh. Usaha yang telah dilakukan oleh abah dapat dilihat sebagai satu pengorbanan yang amat berharga buat kami sekeluarga. Meskipun dibelenggu kesibukan mencari rezeki, abah tidak pernah meminggirkan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Dari sehari ke sehari, perasaan kasih sayang dan bangga kami terhadap abah semakin menebal. Tidak seinci pun perasaan itu berganjak dari dari jiwa kami. Kasih sayang yang dicurahkan oleh abah kepada kami, tidak tertanding walaupun dengan segunung intan. Aduhai, betapa beruntungnya kami kerana memiliki seorang bapa seperti abah. “Terima kasih abah kerana sudi menjaga dan menyayangi kami. Kami sayang abah….”

Cerita di ambil dari http://news.mylaunchpad.com.my/YourStory
Share
Tweet
Pin
Share
No comments
Newer Posts
Older Posts

Mahukan Percutian Bajet?

Blog Archive

  • March 2023 (1)
  • January 2021 (1)
  • August 2020 (1)
  • July 2020 (5)
  • January 2020 (2)
  • December 2019 (2)
  • May 2019 (1)
  • March 2019 (9)
  • February 2019 (4)
  • December 2018 (2)
  • November 2018 (1)
  • September 2018 (3)
  • August 2018 (6)
  • March 2018 (1)
  • March 2017 (3)
  • January 2017 (1)
  • August 2016 (3)
  • June 2016 (1)
  • February 2016 (1)
  • January 2016 (3)
  • December 2015 (1)
  • November 2015 (2)
  • October 2015 (1)
  • September 2015 (1)
  • August 2015 (1)
  • July 2015 (3)
  • June 2015 (2)
  • May 2015 (2)
  • June 2014 (1)
  • January 2014 (2)
  • November 2013 (5)
  • October 2013 (3)
  • August 2013 (2)
  • July 2013 (1)
  • May 2013 (5)
  • April 2013 (2)
  • March 2013 (1)
  • February 2013 (2)
  • January 2013 (2)
  • November 2012 (2)
  • September 2012 (4)
  • August 2012 (3)
  • July 2012 (3)
  • June 2012 (2)
  • May 2012 (2)
  • March 2012 (3)
  • February 2012 (2)
  • November 2011 (5)
  • October 2011 (2)
  • September 2011 (3)
  • July 2011 (7)
  • June 2011 (2)
  • April 2011 (1)
  • February 2011 (1)
  • January 2011 (1)
  • November 2010 (3)
  • October 2010 (2)
  • September 2010 (4)
  • August 2010 (2)
  • July 2010 (5)
  • June 2010 (4)
  • May 2010 (8)
  • April 2010 (6)
  • March 2010 (4)
  • February 2010 (5)

Popular Posts

  • Hari Pertama Minggu Pembukaan Sekolah 2023/24
    Assalamualaikum & Salam Perpaduan. Ini ada throwback bagi Hari Pertama Minggu Pembukaan Sekolah 2023/24. Tahun ini dalam sejarah, tiada ...
  • Latihan Kebakaran
    Pada 20/8/2010, satu latihan kebakaran telah dilakukan. Latihan ini bertujuan melatih murid sekolah untuk bersiap sedia bagi menghadapi seba...
  • KEJOHANAN BOLA TAMPAR PERINGKAT DAERAH
    Pada 20 sehingga 22 Februari telah berlangsungnya Kejohanan Bola Tampar Peringkat Daerah. Alhamdulillah Pasukan Londah mendapat keputusan y...
  • Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali ke-63
    Alhamdulillah, pada 19 Ogos 2020 yang lalu, SK Londah telah berjaya melaksanakan majlis Perasmian Bulan Kemerdekaan Kali ke-63.  Majlis diad...
  • SEJARAH SEKOLAH
    SEKOLAH KEBANGSAAN LONDAH Sekolah Kebangsaan Londah mula ditubuhkan pada 01.02.1955. Ia terdiri dari pelajar tahun 1, 2 dan 3 yang berasal d...

Hi! Want to say something to us?

Your Name

Your Email*

Your Message*

KPM

Loading...

JPNNS

Loading...

Created with by ThemeXpose | Distributed by Blogger Templates